Sunday, November 1, 2009

Bolehkah Wanita menjadi Pimpinan Umum?

Sejauh manakah benarnya hadith,
لن يفلح قوم ولوا أمرهم امراة
"Kaum yang melantik wanita sebagai pemimpin tidak akan mencapai kejayaan."
Terdapat sesetengah pihak yang mengaku dirinya pembela wanita dan mendakwa bahawa hadith tersebut bertentangan dengan hadith lain yang memberi penghormatan kepada Aisyah :
خذوا نصف دينكم عن الحميراء
" Ambillah seperdua ajaran kamu daripada Humaira' (Aisyah)"
Kejahilan adalah suatu penyakit yang besar. Apabila nafsu telah menguasai diri pasti akan musnah segala-galanya. Tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah, petunjuk dari Allah. Oleh itu tidak hairanlah golongan ini menolak hadith yang sahih dan menerima hadith yang daif.
Perhatikan !!!
Hadith pertama di atas adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Bakar R.A. Beliau berkata :
لما بلغ رسول الله أن أهل فارس ملكوا عليهم بنت كسرى
"Bila sampai berita kepada Rasulullah S.A.W tentang raja Farsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja yang memerintah, Nabi S.A.W terus bersabda dengan hadith pertama di atas."
Hadith ini diterima oleh Bukhari, Ahmad, Nasa'i dan Tarmizi, juga seluruh ulama' Islam menerimanya dan mereka membuat satu keputusan bahawa wanita tidak layak menjadi pemimpin umum masyarakat.
Hadith kedua pula masih diragui kesahihannya. Ibn Hajar berkata :
"Saya tidak tahu siapa perawinya dan saya juga tidak menemui dalam kitab-kitab hadith kecuali dalam kitab An-Nihayat oleh Ibn Athir, tanpa menyebut siapa yang meriwayatkannya."
Daripada isi dan maksudnya pula, hadith ini ditolak oleh akal dan realiti (suasana) dengan alasan-alasan yang berikut :
1) Bagaimana Nabi boleh menyuruh kita mengambil separuh ajaran agama daripada Aisyah R.A seorang sahaja? Apakah ajaran yang separuh lagi kita ambil daripada sahabat-sahabat lain yang masih ramai itu?
2) Kalimat Humaira' الحميراء ialah satu sebutan manja atau gurau senda yang mungkin disebut oleh Nabi ketika bersama isteri-isteri baginda secara khusus, bukan untuk pengajaran dan pendidikan kepada umat secara umum seperti perbincangan kita sekarang.
Dari segi riwayat, beribu-ribu sahabat, lelaki atau perempuan sama-sama memberi saham dalam menyampaikan petunjuk Rasulullah dan Aisyah adalah salah satu unit daripada bilangan yang ramai ini. Walaupun banyak riwayatnya namun tidaklah sebanyak riwayat Abu Hurairah.
Dari segi fiqh dan fatwa pula, akal dan kenyataan sejarah menolak anggapan bahawa Aisyah memiliki separuh ilmu Islam. Bagaimana pula dengan para sahabat lain yang masih ramai seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Kaab, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit dan lain-lainnya.
Kesimpulannya, sebarang hadith mengenai keistimewaan seseorang perlu dikaji secara mendalam tentang riwayatnya. Penulis dan pereka hadith palsu banyak mencipta hadith palsu yang berhubung seseorang, terutama mereka yang mempunyai ramai penyokong yang melampau dan ramai pula musuhnya. Mengenai Aisyah R.A, ayat-ayat Al-Quran dalam surah An-Nur, juga hadith-hadith sahih dan hasan sudah cukup menerangkan keistimewaannya. Tidak perlu diambil hadith-hadith mungkar dan melampau yang bercanggah dengan akal dan kenyataan sejarah.

No comments:

Post a Comment

"Magical Template" designed by Blogger Buster