Wednesday, September 9, 2009

RAMADHAN DAN KESATUAN UMMAH

Di bulan Ramadhan, ramai umat Islam berlumba-lumba berusaha untuk mencapai keredhaan Alah SWT, dengan letihnya badan, laparnya perut, keringnya kerongkong, bau mulutnya dan amalan-amalan sunatnya. Semua itu dilakukan untuk merealisasikan hubungan langsung diantara hamba dengan Rabb-nya.

"Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (TTQ Al-Baqarah, 2 : 183)

Oleh itu bagi kita umat Islam yang sudah akil baligh diwajibkan untuk melaksanakan perintah Allah SWT iaitu berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Kita juga digalakkan berbuat berbagai amalan ketaatan dan kebaikan yang lain. Ibnu Abbas ra. berkata :

"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : kalau sekiranya ummatku mengetahui apa-apa (kebaikan) di bulan Ramadhan, nescaya mereka menginginkan sepanjang tahun itu menjadi Ramadhan. Kerana semua kebaikan berkumpul di bulan Ramadhan, ketaatan boleh diterima, semua doa dikabulkan, semua dosa diampuni dan syurga rindu kepada mereka".

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang diperolehi jika kita dapat berbuat ketaatan dan kebaikan di bulan yang mulia ini. Bulan suci yang harus diisi dengan amalan-amalan tertentu dengan niat lillahi ta’ala, agar mendapat fadhilatnya. Rebutlah ganjaran pahala berlipat kali ganda untuk setiap amalan. Dosa yang lalu disuci habis supaya kita menjadi seumpama bayi yang baru lahir ke dunia.

Kita dapat melihat ramai umat Islam tidak kira tua dan muda meluangkan banyak masa untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mereka berbondong-bondong ke mesjid untuk menunaikan sembahyang sunat terawih sehingga tidak muat ruang yang biasanya lengang. Memberbanyakkan tadarus Al-Quran dan berusaha mengkhatamkannya serta memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Bersusah payah bangun sebelum subuh untuk bersahur yang merupakan sunnah Rasulullah SAW dan bermurah hati bersedekah untuk membantu saudara-saudara kita yang sengsara terhimpit oleh keadaan hidup yang memerlukan bantuan dan ehsan kita.

Jiran setempat yang tidak biasa kelihatan dan jarang-jarang dapat bertemu meluangkan masa untuk datang ke mesjid dan beramah-mesra dalam masyarakat. Orang yang rajin membaca majalah hiburan seperti Haz, Mangga, URTV, majalah kartun seperti Gila-Gila, Humor ataupun majalah fiksyen seperti Alam Perwira, Dewata Raya dan berbagai lagi mengubah bahan bacaannya kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran dan mempelajarinya. Wanita-wanita yang suka menyebarkan isu-isu hangat dan kaki gossip, pada bulan ini merupakan masa latihan yang baik untuk menghilangkan hobinya itu dengan lebih banyak berzikir memuji Allah SWT. Alhamdulillah.

Ketika ini kita berlumba-lumba untuk memperbaiki, menambah ibadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sebagaimana para sahabat dimasa lalu. Ada diantara mereka yang berpuasa 3 bulan berturut-turut (Rejab, Syaaban dan Ramadhan) dan istiqomah berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis sehingga akhir hayat. Para sahabat itu tahu apakah hakikat bulan Ramadhan. Begitulah orang-orang yang telah mendapat konsep tentang puasa dan kelazatannya, mereka lebih suka mengabdikan diri kepada Alah SWT dengan berlapar.

Tetapi disudut yang lain kita dapati para sahabat yang sedang berlapar ini juga berjuang untuk meninggikan deen Islam. Ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT di bulan Ramadhan ini bukan sahaja dihabiskan di mesjid-mesjid tetapi juga di medan perang. Pada saat menjalankan ibadah puasa ini, hawa nafsu dapat ditundukkan. Berbekalkan senjata kemenangan yang paling ampuh yang dimiliki iaitu keimanan kepada Allah SWT serta janji Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada kaum muslimin, mereka berjaya mengalahkan musuh-musuh Islam dalam setiap peperangan walaupun dengan kekuatan ketenteraan yang lemah. Ini dapat dilihat daripada beberapa peristiwa yang terjadi pada bulan Ramadhan yang merupakan catatan gemilang dalam sejarah umat Islam. Bulan Ramadhan bukan sahaja bulan kemuliaan yang penuh dengan ketaatan dan kebaikan tetapi juga adalah bulan kemenangan bagi kaum muslimin.


17 Ramadhan 2H


Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan maklaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik.


Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan pasukan musuh.


21 Ramadhan 8H


Futuhul Mekah (Penaklukan Kota Mekah)


Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Beliau berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.


Ramadhan 8H


Penghancuran berhala

Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.


Ramadhan 9H


Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.


Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.



Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 91H

Pasukan Islam mendarat di selatan pantai Andalusia(Sepanyol) dan terus berjihad.


Ramadhan 92H

Panglima Thariq bin Zaid mengalahkan Raja Frederick dalam perang Fashillah.


Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Kerajaan Tartar hancur dan pasukannya ditahan di pintu gerbang Mesir di kota ‘Ain Jalut. Tentera Tartar sebelumnya telah menguasai sebahagian daripada wilayah Islam dan ini dianggap telah menganyang kekuatan Islam diseluruh dunia.

Catatan di atas membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus sahaja tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk meninggikan syiar Islam. Beberapa peristiwa yang tercatit dalam sejarah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang sentiasa bergerak dengan dakwah dan jihad walaupun dalam berkeadaan lapar dan dahaga. Seharusnya dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran penghambaan kepada Allah SWT yang tinggi dalam bulan Ramadhan ini, kita berjuang untuk mengangkat tugas utama pada masa kini iaitu mengembalikan kehidupan Islam yang telah hilang. Ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hambanya dalam rangka untuk mendapat redha -Nya.

"Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada mu." (TTQ Al-Maidah, 5 : 48)

Dan dalam kaedah syarak pula dinyatakan bahawa:


"Apabila suatu kewajiban tidak akan terlaksana kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu hukumnya adalah wajib."

Kita wajib berjuang untuk menegakkan kembali daulah Islamiah Khilafah yang telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam. Ini dapat dapat dilakukan dengan jalan yang telah ditunjuki oleh Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan kita iaitu dengan membentuk masyarakat yang Islami, yang berideologikan Islam, berpikiran Islam yang jernih dan mempunyai perasaan yang padu terhadap Islam agar dapat menerapkan kembali kehidupan Islam di dalam kenyataan berdasarkan Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW.



Mengenal Peribadi Rasulullah

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan
keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di
masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya
untuk membantu isterinya di dapur.
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu
membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat
berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai
sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu
itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah
pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi
bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai
Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari
ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas
soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala.
Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak
bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau
memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan
lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda
dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina
Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya
setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah
tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...
mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah
sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin tuan sedang sakit..." desak
Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat
amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain
yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah
yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan,
kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan
lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan
demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila
aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan
ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang
kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat
kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua
yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar bila kain
rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas
merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat
yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut
perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah
sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab
untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam
keseorangan.

Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk
baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,
terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya
sudah bengkak-bengkak.

Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan
jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah,
bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah
begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini
hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang
bersyukur."

Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."

Sekian buat tatapan semua

Wednesday, September 2, 2009

Fuh susah juga buat blog yer...

salam mahabbah, salam ramadhan dan salam satu Malaysia buat semua warga pembaca. blog ini merupakan percubaan dari kami berempat iaitu fakhryyah,kak shai, kak wani n shahida. semoga mendapat input yang berguna buat kita semua.


Blog ini dibangunkan dengan harapan membuka dimensi baru dalam Internet dan sumber rujukan ilmu dan pengetahuan terhadap sumber-sumber Agama Islam.
Mungkin blog ini tidak secanggih mana tetapi di harap amat berguna kepada umat Islam kini dan di masa-masa akan datang. Mudah-mudahan Allah taala memberikan kesempatan bagi kita untuk meneruskan usaha-usaha ini.InsyaAllah bilangan hadith akan ditambah dari hari ke hari....Bagi diri kami yang tidak memiliki kekayaan untuk kami korbankan ke jalan Allah, mungkin inilah sebahagian yang dapat kami waqafkan buat agama kami pada jalan Allah..ilal liqo ma'as salamah!

"Magical Template" designed by Blogger Buster